20.5.14

SAMBUTAN HARI GURU PERINGKAT SEKOLAH 2014

Pada 18 Mei 2014,sambutan hari guru peringkat sekolah telah diadakan dengan meriah sekali.







14.5.14

PROGRAM PRA-REMAJA PRIHATIN APMT

Program ini merupakan program yang julung kalinya diadakan bersama Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT). Sesungguhnya bantuan dan tajaan APMT ini cukup bermakna kepada pihak kami dalam merealisasikan hasrat dan harapan jabatan untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang pendidikan. Program ini telah diadakan di Angullia Beach House Resort, Marang selama 3 hari 2 malam pada 10 – 12 Mei 2014 yang lalu. Dalam program ini para pelajar telah didedahkan dengan ceramah teknik-teknik menjawab soalan peperiksaan bagi semua subjek UPSR.Para fasilitator terdiri daripada guru-guru yang pakar dalam pemeriksaan dan pemarkahan UPSR. Namun begitu, bagi memastikan keberkesanan yang lebih jitu, para pelajar dibahagikan kepada 4 kumpulan kecil mengikut tahap kemampuan mereka.Bagi kumpulan 1, seramai 60 orang pelajar ditempatkan di dewan utama, manakala kumpulan 2 seramai 52 orang di dewan yang lain. Begitu juga, kumpulan 3 dan 4 seramai 14 orang setiap satu kumpulan.


Perjalanan aktiviti di sini sentiasa dipantau dan diselia oleh guru-guru yang telah ditugaskan mengikut giliran. Sebarang kejadian yang tidak diingini akan diambil tindakan yang sewajarnya oleh guru-guru yang bertugas. Sebagai contoh, pada malam pertama dua orang pelajar telah dihantar ke Klinik Kesihatan Marang kerana mengalami sakit perut dan lelah.Di samping aktiviti akademik, turut diadakan ialah aktiviti riadah bagi mengurangkan tekanan di kalangan pelajar. Aktiviti riadah seperti membina istana pasir dan berlari sepanjang pantai ini sedikit sebanyak menyihatkan badan dan merehatkan minda para pelajar yang seharian berada di dalam dewan. 



Syukur alhamdulilah, program ini berjalan dengan lancar dan baik tanpa berlakunya kejadian yang tidak diingini.Terima kasih kepada Pengarah APMT dan pegawainya, Guru Besar, Guru-guru Penolong Kanan, barisan fasilitator dan semua guru kerana telah memberi kerjasama yang sangat baik dalam menjayakan program ini.


27.4.14

LAWATAN KERJA SELANGOR & KUALA LUMPUR

22 APRIL 2104
Selepas isyak para peserta dan guru pengiring berkumpul di sekolah. Satu taklimat ringkas diadakan untuk memastikan keselamatan semua peserta semasa lawatan ini. Tepat jam 9.30 malam bas bertolak ke Selangor.


23 APRIL 2014
Pada pukul 5.00 pagi kami sampai ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah untuk mandi,urus diri dan solat Subuh.Peserta bersarapan pagi di sebuah gerai yang terletak di Seksyen 14. Selepas itu, peserta bertolak ke Kompleks Taman Seni Islam, Yayasan Restu yang terletak bersebelahan dengan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Oleh kerana peserta sampai awal maka peserta terpaksa menunggu sehingga ia dibuka.Tepat 9.30 pagi, peserta masuk ke Taman Seni Islam tersebut. Di sini, pelbagai bentuk rekaan al-Quran dipamerkan. Begitu juga, replika-replika yang berkaitan dengan sejarah Islam turut dipamerkan.Walau bagaimana pun, tempat-tempat pameran adalah kawasan larangan mengambil gambar maka tidak dapatlah peserta merakamkan detik-detik manis itu.



Jam 11.30 pagi, para peserta dibawa ke destinasi seterusnya iaitu Water World  i-City. Di sini para peserta diberi peluang mandi dan bermain sepuas-puasnya.Jam 2.00 petang peserta bertolak ke gerai makan di Seksyen 3 yang telah ditempah. Ternyata makanan di sini murah dan sedap. Lantaran itu, makan malam dan sarapan pagi esoknya pun ditempah di sini juga tetapi dibungkus dan makan di homestay nanti.


Oleh kerana kesuntukkan masa dan jarak perjalanan yang agak jauh maka peserta terlewat ke Muzium Coklat.Di sini peserta diberi penerangan tentang sejarah coklat dan cara-cara membuat coklat.Selepas itu, peserta bertolak ke Homestay Pak Din di Seksyen 7. Manakala, murid perempuan di homestay yang lain iaitu di Jalan Jaspar. Walau bagaimana pun jarak antara homestay tidaklah terlalu jauh. Namun begitu, sedikit masalah di sini ialah masalah catuan air. Para peserta terpaksa berjimat cermat menggunakan air.Pada sebelah malamnya, para peserta dibawa sekali lagi ke i-City Shah Alam untuk melihat keindahan panorama malam di i-City.


24 APRIL 2014
Jam 8.00 pagi peserta bertolak ke Petrosains KLCC untuk destinasi lawatan hari ke-2. Masa tempahan ialah jam 10.00 pagi. Alhamdulilah peserta sampai tepat pada masanya. Di sini para peserta dapat melihat dan mengaplikasikan alatan sains yang canggih dan terkini.Tepat jam 1.30 tengah hari, peserta makan tengah hari di KFC di Suria KLCC yang telah siap ditempah.

Ternyata para pserta begitu gembira kerana makan di tempat yang agak eksklusif dan selesa.Selepas makan tengah hari, peserta menaiki LRT untuk destinasi terakhir iaitu kajian lapangan di Jalan Tunku Abdul Rahman.Tepat jam 5.00 petang, peserta bertolak balik ke Kuala Terengganu.Rombongan peserta selamat sampai di SK Teluk Ketapang tepat jam 12.05 malam.Diharapkan pengalaman yang diperoleh oleh peserta cukup bermakna dan bermanfaat kepada semua, insya Allah.


11.2.14

PENYERAHAN BANTUAN AWAL PERSEKOLAHAN & MESYUARAT AGUNG PIBG KALI KE-14

Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yb Dato Hj Ahmad Razif bin Abd. Rahman,Pengerusi Jawatankuasa Sains&Teknologi, Inovasi,Teknologi Hijau Dan Air merangkap ADUN Seberang Takir kerana sudi menyampaikan bantuan awal persekolahan dan merasmikan mesyuarat agung PIBG kali ke-14 Sekolah Kebangsaan Teluk Ketapang.




10.2.14

DOKUMENTASI PROGRAM HaLus

Jam 8.10 pagi, bertarikh 6 Februari 2014,seramai 61 orang peserta (6 Makwa, 6 Salam dan 6 Husna) telah mendaftarkan diri sebelum berjalan kaki ke Pantai Teluk Ketapang dan dikendalikan oleh Encik Baharim, Encik Mat Usop dan 4 orang Guru Pelatih IPGKDRI yang bertugas sebagai fasilitator. Mereka ialah Cik Nur Fatin, Cik Zainab Asilah, Cik Raihanah dan Cik Wan Samirah Bahiah. Perjalanan ke lokasi aktiviti hanya mengambil masa selama 5 minit sahaja.Sebaik sahaja sampai, para peserta diagihkan kepada lima kumpulan dan bersesuaian dengan lima stesen aktiviti yang akan dijalankan. Setiap stesen, para peserta dikehendaki menyelesaikan dan menyempurnakan tugasan yang diberi dalam masa 15 minit.
Stesen 1 – Gajah Berpusing
Setiap peserta dikehendaki berpusing sebanyak tujuh pusingan dan berjalan ke fasilitator untuk menjawab sifir yang diajukan. Jawapan yang betul akan dikira markah untuk kumpulan mereka. 
Stesen 2 – Belon Air
Para peserta berada dalam bentuk bulatan. Mereka dikehendaki membaling belon dan disambut dengan selamat. Peserta yang tidak berjaya menyambutnya dengan baik akan terkeluar daripada kumpulan. Pemenang ditentukan berdasarkan bilangan belon yang terkumpul. 
Stesen 3 – Layang-layang
Para peserta dikehendaki membuat sebuah laying-layang yang mampu naik. Kumpulan yang berjaya menaikkan laying-layang dengan baik akan dikira pemenang.
Stesen 4 – Kaki Ayam
Kaki peserta akan diikat dengan kawan mereka untuk mencari dan mengambil gula-gula berdasarkan warna yang diarahkan. Kumpulan yang berjaya mengumpul gula-gula terbanyak dikira pemenang.
Stesen 5 – Mama Pesan
Dalam aktiviti ini para peserta dikehendaki menyampaikan pesanan yang diberi. Ketepatan peserta yang terakhir menyampaikan pesanan akan dikira pemenang.




Keseluruhannya, aktiviti yang dirancang sangat sesuai dengan aras dan kebolehan para peserta yang memiliki harapan lulus di dalam UPSR nanti. Jam 10.00 pagi para peserta rehat dan diberi makanan berupa nasi minyak dan air mineral.Selesai makan, acara menyampaikan hadiah kepada pemenang yang berjaya mengungguli setiap aktiviti. 10.15 pagi para peserta berjalan balik ke sekolah dengan diiringi oleh Encik Mat Usop.Secara keseluruhannya, program ini dapat memberi impak yang sangat baik kepada para peserta bekerjasama dalam kumpulan untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang dikemukakan. Bezanya masalah yang dikemukakan kali ini dalam bentuk permainan minda. Program ini juga mencapai objektif sebagaimana yang telah dicadangkan. Para peserta berpuas hati dan gembira dengan aktiviti-aktiviti yang telah disusun atur dengan baik.Semua guru menjalankan tugas dengan begitu komited dan baik sekali sehingga perjalanan program ini amat lancar. Alhamdulilah, tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.



6.2.14

MAJLIS CAKNA CEMERLANG AKUJANJI UPSR 2014

5 Februari 2014,11 pagi pihak sekolah menerima kedatangan ibubapa tahun 6 bagi menyempurnakan Majlis Cakna Cemerlang Akujanji UPSR 2014 murid tahun 6.Majlis ini dirasmikan oleh Encik Norzilam Bin Mohamed, Pengarah Biro Tatanegara Terengganu.



2.2.14

MAJLIS SAMBUTAN MAULIDUR RASUL PERINGKAT SEKOLAH TAHUN 1435H/2014

Tanggal  12 Rabiulawal  merupakan satu tarikh keramat dalam sejarah umat Islam di seluruh dunia. Maulidur Rasul tahun 1435H atau tahun Masehi 2014 jatuh pada 14 Januari 2014 dengan Tema sambutan Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah.




Dengan peristiwa itu,pihak sekolah telah mengadakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sekolah Pada 28 Januari 2014.Perarakan dari sekolah ke Bangunan Penyelaras UMNO Dun Seberang Takir telah berjalan dengan lancar.



Gambar-gambar lain semasa majlis berjalan boleh di lihat pada Galeri Foto blog sekolah.