31.7.13

MERAIKAN ANAK-ANAK YATIM MEMBELI-BELAH KELENGKAPAN RAYA

Tanggal 30 Julai 2013 ( Selasa ) , jam 10.05 pagi seramai 20 orang anak-anak yatim diraikan membeli-belah kelengkapan raya berupa sepasang pakaian raya di Xiri,kuih raya dan kuih untuk berbuka puasa pada hari itu di Giant Gong Badak. Sumbangan duit yang telah dihulurkan oleh guru-guru dan kakitangan sekolah telah digunakan sebaik mungkin untuk merealisasikan program ini.


Sesungguhnya segala sumbangan warga sekolah amatlah bermakna pada anak-anak yatim. Kegembiraan jelas terpancar di wajah mereka dan sesungguhnya menggembirakan anak-anak yatim merupakan saat-saat yang mengharukan bagi kami ( Puan Hjh Zakiah, Puan Saodah dan Encik Baharim ) yang mengiringi mereka. Semoga Allah memberi ganjaran yang berganda kepada warga sekolah yang memberi sumbangan yang cukup bermakna itu. Jazakallah.


1.7.13

LAWATAN GURU & KAKITANGAN KE LANGKAWI

Satu lawatan Guru & Kakitangan SKTK pada 27 hingga 29 Jun 2013 ke Langkawi telah dianjurkan dengan jayanya. Lawatan ini adalah anjuran Kedai Sekolah dibawah urusan Ustazah Arneeza dan jawatankuasanya tetapi dikendalikan sepenuhnya oleh Cikgu Baharim Ramli selaku ketua rombongan.


Lawatan tersebut disertai oleh 40 orang guru,kakitangan  dan keluarga. Setiap peserta membayar sebanyak RM200 yang merangkumi bayaran untuk bas SP Bumi, tiket feri pergi dan balik, Motel Sunderland,bas sewa dan tiket lawatan. Manakala, makan dan minum ditaja sebanyak tiga kali iaitu sarapan di jeti, makan malam Jumaat dan makan tengah hari sabtu.


Melalui aktiviti lawatan ini hubungan kekeluargaan sesama guru dan kakitangan serta keluarga dapat dieratkan lagi. Konsep saling bekerjasama dalam satu pasukan dapat diterap dan diamalkan dengan lebih baik dan berkesan.

Keterujaan ahli rombongan sewaktu di sana dapat diterjemahkan melalui sebahagian daripada rakaman peristiwa boleh dilihat pada Foto Galeri blog sekolah.

24.6.13

PERKHEMAHAN TAHUNAN SK TELUK KETAPANG 2013

Perkhemahan Tahunan Sekolah Kebangsaan Teluk Ketapang telah diadakan pada 20 Jun hingga 22 Jun 2013 telah berjalan dengan jayanya.Perkhemahan kali ini disertai oleh pelajar tahun 6 dan bertempat di Sum Kem Gemia,Kem Telaga Batin.



Tujuan perkhemahan ini adalah untuk memupuk semangat kerjasama antara peserta dalam melakukan sesuatu aktiviti.Selain itu juga,ia dapat mendisiplinkan pelajar supaya mematuhi masa yang telah ditetapkan oleh komander kem dalam menjalankan aktiviti perkhemahan yang telah di rancang.


Sedikit sudutan aktiviti boleh dilihat pada Foto Galeri blog sekolah.


12.5.13

LAWATAN BERMAKLUMAT KE KUALA LUMPUR DENGAN AIRASIA


Lawatan Bermaklumat Pembimbing Rakan Sebaya SKTK ke Kuala Lumpur dengan menaiki AirAsia adalah julung kalinya diadakan dan berjalan dengan lancar, baik dan selamat. Lawatan sehari ini berlaku pada 8 Mei 2013 ( Rabu ),bermula jam 6.30 pagi hingga 9.00 malam.


Lawatan tersebut disertai oleh 13 orang PRS dan 2 orang guru pembimbing UBK iaitu Cikgu Baharim Ramli dan Cikgu Zaimah Yusof. Setiap peserta membayar sebanyak RM230 untuk lawatan tersebut. Ia merangkumi tiket AirAsia, tiket bas, tiket Putra LRT, tiket masuk Petrosains, makan dan minum.



Melalui aktiviti lawatan ini PRS memperoleh pengalaman yang sangat bermanfaat dan di luar jangkaan mereka. Ini kerana setiap PRS dapat merasakan sendiri peristiwa dan pengalaman menaiki kapal terbang, coach airport, Putra LRT dan bermain aneka ciptaan sains di Petrosains.









29.4.13

KEM KECEMERLANGAN UPSR (KEMERCU)


Kem Kecemerlangan UPSR ( KEMERCU ) merupakan program tahunan Unit Bimbingan dan Kaunseling bersama Jawatankuasa Kecemerlangan UPSR yang telah dirancang. Program telah diadakan di Angullia Beach House  Resort, Marang selama 3 hari 2 malam pada 16 – 18 April 2013 yang lalu. Dalam program ini para pelajar telah didedahkan dengan ceramah teknik-teknik menjawab soalan peperiksaan bagi semua subjek UPSR dalam 2 kumpulan mengikut aras pencapaian mereka.


            Para fasilitator terdiri daripada 8 orang guru-guru Akram dan pemeriksa kertas subjek UPSR negeri Terengganu. Bagi BM - Puan Salwa Zaharin dan Encik Mohd Faudzi Abdullah, BI - Encik Khyrul Anwar Mohamad dan Encik Adnan Harun, MT - Encik Alias Abdullah dan Puan Dahlia Embong, SN - Encik Mohd Fazli Othman dan Puan Tun Azlina Lokman. Manakala, Motivasi oleh Encik Baharim Ramli dan Puan Zaimah Yusoff, Kerohanian oleh Ustazah Hajjah Ruhani Isemail dan Tazkirah oleh Ustaz Wan Md. Shahrulmizam Wan Abdullah.


            Syukur Alhamdulilah, program ini berjalan dengan lancar dan baik cuma sedikit kecederaan kepada seorang pelajar perempuan sewaktu Aktiviti Riadah. Walau bagaimana pun, rawatan telah diberikan dan pelajar berkenaan dapat mengikuti program hingga akhir.Terima kasih kepada Guru Besar, Guru-guru Penolong Kanan dan semua guru kerana telah memberi kerjasama yang sangat baik dalam menjayakan program ini.
Sedikit gambar semasa aktiviti ini boleh dilihat pada foto galeri blog sekolah.

6.4.13

MESYUARAT AGUNG PERSATUAN IBU BAPA DAN GURU SK TELUK KETAPANG KALI KE 13 & PELANCARAN E-KHUTUB KHANAH SERTA "SCIENCE JOURNEY"

4 April 2013,Yang Berhormat,Dato' Hj. Ahmad Razif Bin Abdul Rahman,Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran  Pengajian Tinggi,Sains,Teknologi & Sumber Manusia,Terengganu Darul Iman telah merasmikan mesyuarat agung persatuan ibu bapa dan guru Sk Teluk Ketapang kali ke-13 dan melancarkan E- khutub khanah serta "sains journey".Majlis tersebut telah berlangsung pada pukul 2.30 petang bertempat di kantin sekolah Sk Teluk Ketapang.


Agenda yang turut berlangsung pada hari itu adalah penyerahan cepu emas kepada pelajar yang mendapat 5A dalam UPSR 2012.Selain itu,majlis juga menyampaikan cenderahati kepada Pengarah Pusat Sains & Kreativiti Kuala Terengganu,Pengurus NVE Solution dan Pengarah PSKT .Acara pada hari itu diahkiri dengan majlis penyerahan E-khutub khanah daripada NVE Solution kepada Guru Besar.


Sedikit gambar semasa acara ini berlangsung boleh di lihat pada Galeri Foto blog sekolah.


3.3.13

PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA 2013-2025 & BAHAN TAKLIMAT MMI

[TERBARU]
PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA 2013-2025 bolehlah dimuat turun DISINI.Manakala BAHAN TAKLIMAT MMI boleh dimuat turun DISINI.